Perutusan Pengerusi

Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri atau Association of Inland Revenue Alumni (AIRA) ialah persatuan yang menggabung bekas pegawai dan staf Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). AIRA berjaya didaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 9 Oktober 2017.
Keahlian AIRA dibuka kepada semua bekas pegawai dan staf LHDNM dengan tujuan untuk mengekalkan tali persaudaraan dalam kalangan bekas pegawai dan staf LHDNM.

AIRA juga ditubuhkan bagi meneruskan penglibatan ahli dalam dunia percukaian. Dalam hal ini, AIRA memberi komitmen untuk membina jaringan kerjasama dengan LHDNM dalam menyebar luas pemahaman cukai dan meningkatkan tahap pematuhan cukai di Malaysia. Di samping itu, AIRA menyediakan platform untuk ahli membuat kajian percukaian, sama ada bersendirian mahupun bekerjasama dengan LHDNM dan agensi-agensi kerajaan atau mana-mana badan yang berkaitan.

Ke arah itu, inisiatif dalam bidang pendidikan cukai yang sedang LHDNM dan AIRA usahakan adalah penganjuran seminar percukaian serta bengkel, kursus dan taklimat kepada golongan sasar.

Sehubungan itu, satu siri kursus dalam bidang percukaian antarabangsa dan duti setem sedang dibincang bersama dengan LHDNM. AIRA sudah bersedia untuk menganjurkan kursus-kursus tersebut sebaik sahaja mendapat kelulusan LHDNM. Pada masa sekarang pun, AIRA sudah bekerjasama dengan LHDNM dengan menyediakan tenaga pengajar dalam beberapa kursus khas anjuran LHDNM.

Selain daripada bidang percukaian, AIRA bersedia untuk bekerjasama dengan LHDNM dan mana-mana badan lain dalam apa juga bidang di mana kepakaran serta tenaga kerja ahli diperlukan.

Dengan kesempatan ini, kami dari Exco AIRA, mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan pihak pengurusan LHDNM atas sokongan dan bantuan mereka dalam penubuhan serta perjalanan AIRA sehingga kini. Jutaan terima kasih juga kami ucapkan kepada pegawai-pegawai LHDNM yang telah secara langsung atau tidak langsung membantu perjalanan AIRA setakat ini. 

Kepada semua ahli AIRA dan yang belum sempat mendaftar diri menjadi ahli, saya ucapkan terima kasih atas bantuan dan sokongan anda semua. Semoga kekal ceria dan maju jaya dalam apa juga bidang yang diceburi.

Sekian. Terima kasih.

 
                                                                                                                                     

YBhg. Dato Mohammad Sait Ahmad, 
Pengerusi AIRA yang pertama dan mantan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM



Dikeluarkan oleh: 
Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri (AIRA) 
Sumber : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Puan Ruedah Karim
Tel : 012-2884102